Kes Nurjilya kini disiasat sebagai bunuh, dua lelaki ditahan

KOTA KINABALU: Kes kehilangan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, Nurjilya Abdullah yang dilaporkan hilang sejak 13 Julai lalu, kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh selepas mayat mangsa ditemukan di Kampung Numbak, Sepanggar, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan pada jam 10.38 malam berhampiran sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan di kawasan cerun semak belukar di atas bukit Kampung Numbak.

Menurutnya, pemeriksaan awal oleh pasukan forensik mendapati mayat mangsa ditemukan dalam keadaan telah mereput.

“Identiti mangsa kemudiannya disahkan oleh ibu mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai ketika Nurjilya dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik mendapati punca kematian dipercayai akibat kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala yang disyaki berpunca daripada hentakan menggunakan objek keras dan tumpul.

Susulan siasatan yang dijalankan, katanya, polis berjaya menahan dua lelaki bagi membantu siasatan.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan diteruskan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis sedang melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi-saksi serta mengumpul bukti berkaitan,” katanya.

Syed Lot turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP La Paula Abd Muis di talian 013-5149490 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.