LAHAD DATU: Seramai 260 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, semalam.
Semua tahanan terbabit dipindahkan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan melalui Pelabuhan Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menggunakan perkhidmatan feri komersial.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kumpulan yang dihantar pulang itu membabitkan 167 lelaki dewasa, 40 wanita dewasa, 30 kanak-kanak lelaki dan 23 kanak-kanak perempuan berusia antara lima hari hingga 68 tahun.
Beliau berkata, semua kanak-kanak terbabit diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing sepanjang proses penghantaran pulang.
“Kesemua tahanan sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki Dokumen Perjalanan (Travel Documents) yang sah sebelum dibenarkan pulang ke negara asal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sebelum ini JIM Sabah turut melaksanakan penghantaran pulang lima lelaki warga China dari Depot Imigresen Papar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan penerbangan terus ke Guangzhou pada 14 Julai lalu.
Katanya, pada 10 Julai lalu, lima lelaki warga Pakistan dari Depot Imigresen Tawau turut dihantar pulang ke negara asal melalui Lapangan Terbang Tawau dengan penerbangan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke Lahore.
Sitti Saleha berkata, sehingga kini seramai 4,275 tahanan PATI sudah dipindahkan ke negara asal masing-masing membabitkan 2,838 warga Filipina, 1,207 warga Indonesia, 105 warga Pakistan dan 89 warga China.
Beliau berkata, JIM Sabah akan terus mempergiat usaha menguatkuasakan undang-undang imigresen termasuk melaksanakan program penghantaran pulang tahanan asing yang memenuhi syarat ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI dan menyalurkan maklumat kepada JIM Sabah melalui saluran rasmi bagi membantu usaha membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini.