SANDAKAN: Cubaan menyeludup 360 liter minyak petrol bersubsidi menggunakan sebuah bot berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Sandakan dalam operasi di perairan Sungai Sabine, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 0.05 batu nautika di barat laut Sungai Sabine itu, dua lelaki yang dipercayai kru bot bertindak terjun ke kawasan bakau sebelum melarikan diri ke dalam hutan sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.
Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Suhairy Hussain berkata, bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika Bot Peronda Maritim Malaysia melaksanakan Op Sejahtera, Op Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 4.0.
“Hasil pemeriksaan menemukan 18 jerican yang disyaki mengandungi minyak petrol bersubsidi dengan anggaran keseluruhan 360 liter.
“Turut dirampas dua enjin sangkut Yamaha masing-masing berkuasa 40 kuasa kuda dan 15 kuasa kuda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, bot bersama muatan itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit atau kebenaran yang sah.
Katanya, bot berkenaan turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 12 Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana menyalahgunakan lesen dengan membawa barangan kargo.
“Keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dianggarkan RM23,300 sebelum dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Suhairy berkata, cubaan sindiket menjalankan kegiatan penyeludupan pada waktu siang membuktikan mereka sentiasa mencari peluang untuk mengaburi pihak berkuasa.
“Maritim Malaysia akan terus mempertingkat rondaan dan operasi penguatkuasaan secara berterusan tanpa mengira masa bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan yang menjejaskan keselamatan negara serta menyebabkan ketirisan barang kawalan bersubsidi,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut supaya menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Sandakan atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.