Pelajar perempuan 12 tahun hilang selepas dihantar ke sekolah

KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan seorang pelajar perempuan berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang selepas dihantar ke hadapan sekolahnya di Likas, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pelajar terbabit dikenali sebagai Gwynne Mia Erbin, 12, berbangsa Lundayeh dan berasal dari Taman Kingfisher, di sini.

Menurutnya, kanak-kanak itu dilaporkan hilang pada 27 Julai selepas dihantar ke hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lok Yuk, Likas kira-kira jam 5.55 pagi untuk ke sekolah.

“Bagaimanapun, semakan mendapati penama tidak hadir ke sekolah dan sehingga kini masih belum dapat dikesan.

“Ketika kali terakhir dilihat, penama memakai pakaian seragam sekolah jenis pinafore berwarna biru, kasut putih serta membawa beg berwarna putih bercorak bunga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Gwynne mempunyai ciri fizikal berbadan sederhana, berkulit cerah, berketinggian kira-kira 155 sentimeter, bermata coklat, berbulu kening tebal, berambut hitam pendek dan berbibir tebal.

Katanya, pelajar berkenaan boleh bertutur dalam Bahasa Melayu serta tidak mempunyai sebarang kecacatan fizikal atau mental.

Syed Lot berkata, ahli keluarga telah menjalankan pelbagai usaha pencarian termasuk membuat hebahan melalui kumpulan WhatsApp keluarga dan komuniti, namun sehingga kini mangsa masih belum ditemui.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan penama diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Kamarul Rashdan Suffian Long di talian 014-8458490 bagi membantu siasatan.

“Kerjasama orang ramai amat dihargai bagi membantu mengesan penama dengan segera,” katanya.