TAWAU: Pasangan suami isteri warga asing ditahan polis selepas disyaki mendera bayi perempuan berusia dua bulan sehingga mengalami beberapa kecederaan dalam kejadian di Batu 8, Jalan Apas, di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, pasangan berusia lingkungan 18 dan 30-an itu ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di pekarangan Hospital Tawau kira-kira jam 11.45 malam.
Beliau berkata, kejadian terbongkar apabila seorang doktor yang bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Tawau membuat laporan polis selepas mengesan kecederaan mencurigakan pada bayi yang dibawa mendapatkan rawatan oleh pasangan terbabit bersama nenek mangsa.
“Pada awalnya, pasangan itu memaklumkan bayi berkenaan terjatuh. Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kesan lebam di dahi kiri, kesan gigitan pada pipi kanan serta bengkak di bahagian belakang kepala.
“Doktor kemudian dimaklumkan oleh nenek mangsa bahawa kecederaan itu dipercayai berpunca daripada perbuatan kedua-dua suspek sebelum laporan polis dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan dan didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki melakukan penganiayaan atau penderaan terhadap kanak-kanak serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Wilynton turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), khususnya petugas Hospital Tawau, atas tindakan pantas mengesan kecederaan mangsa dan menyalurkan maklumat kepada polis sehingga siasatan dapat dijalankan segera.
“Polis memandang serius sebarang bentuk penderaan terhadap kanak-kanak dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan perbuatan sedemikian.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak diminta segera menyalurkannya kepada balai polis berhampiran bagi membolehkan tindakan pantas diambil demi memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa sentiasa terpelihara,” katanya.