Dua parah, lima cedera dalam nahas dua Perodua Axia di Jalan Sulaman

TUARAN: Dua orang lelaki parah, manakala lima individu lain cedera, dalam kemalangan membabitkan dua buah Perodua Axia di Jalan Sulaman, awal pagi Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, TPgB Kurong AK Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 5.19 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

Katanya, anggota bomba tiba di lokasi pada jam 5.27 pagi, kira-kira enam kilometer dari balai.

“Kemalangan itu melibatkan dua buah Perodua Axia yang bertembung dengan lima mangsa keseluruhannya.

“Kenderaan pertama dinaiki tiga mangsa terdiri daripada seorang lelaki dewasa dan dua wanita, manakala kenderaan kedua dinaiki dua lelaki dewasa.

“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan semua mangsa yang terperangkap di dalam kedua-dua kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.

Beliau berkata, semua mangsa mengalami kecederaan dengan seorang wanita dilaporkan patah tangan, manakala dua lelaki berusia 20 dan 33 tahun mengalami kecederaan parah.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tuaran menggunakan kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) JBPM dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan lanjut.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.40 pagi selepas lokasi disahkan selamat.