Mayat bayi tidak cukup sifat ditemui di Penampang

PENAMPANG: Mayat bayi yang dipercayai tidak cukup sifat ditemukan di kawasan berhampiran sebuah rumah di Kampung Boliga Kolopis, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan itu pada jam 11.52 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mayat bayi terbabit ditemui di kawasan berhampiran rumah pengadu.

“Pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah bersama Unit K-9 PDRM turut digerakkan ke lokasi bagi membantu siasatan serta pemeriksaan tempat kejadian.

“Mayat bayi itu kemudian dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu bagi tujuan bedah siasat dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sammy berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan cara membuang mayat secara sulit.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Katanya, polis kini giat mengesan individu yang bertanggungjawab selain menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Anis Abdullah di talian 013-6365734 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya.