Rokok seludup RM167,520 dirampas di Tenom

TENOM: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas 134,600 batang rokok disyaki tidak bercukai bernilai lebih RM167,520 dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Amboi, di sini, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 8.20 pagi yang dijalankan bersama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom itu, seorang lelaki yang dipercayai menjaga stor berkenaan sempat melarikan diri ke kawasan kebun getah berhampiran sebaik menyedari kehadiran pasukan serbuan.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan di dalam stor menemui pelbagai jenama rokok disyaki tidak bercukai antaranya Grow, Tex Light, Astro Blue Berry Fuze dan beberapa jenama lain.

“Semua rokok berkenaan dirampas dengan anggaran nilai keseluruhan melebihi RM167,520.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sehingga 30 Julai lalu, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 44 kes di bawah Akta Kastam 1967 membabitkan 30 tangkapan dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan RM6,208,256.66.

Ahmad Amri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan demi melindungi keselamatan serta kepentingan ekonomi negara.