Kerajaan Hargai 11 Persatuan Veteran Sabah

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri terus menghargai jasa dan pengorbanan anggota keselamatan menerusi penyampaian sumbangan kepada 11 persatuan veteran. 


Sumbangan kerajaan negeri itu disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman sempena Majlis Kesyukuran Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah 2026 yang julung kali diadakan di Masjid Negeri Sabah, pada Jumaat.


Penerima sumbangan ialah Persatuan Veteran ATM Negeri Sabah, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia, Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Cawangan Sabah, Persatuan Veteran Komando Malaysia Sabah dan Persatuan Veteran Rejimen Semboyan Diraja Cawangan Sabah.


Turut menerima sumbangan ialah Persatuan Veteran Paskal Wilayah Sabah, Persatuan Veteran Jurulatih Diraja Sabah, Kelab Sukan Veteran Angkatan Tentera Sabah, Persatuan Veteran Kor Risik Malaysia Cawangan Sabah, Persatuan Bekas Polis Malaysia serta Persatuan Pesara Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah.


Seramai 1,500 tetamu terdiri daripada pemimpin kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan Persekutuan dan negeri, anggota agensi keselamatan serta veteran hadir ke majlis berkenaan.


Terdahulu, ketibaan Tun Musa pada pukul 6.20 petang disambut Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor serta 

 ketua-ketua jabatan Persekutuan dan negeri.  
Tun Musa dan Hajiji kemudian menunaikan solat Maghrib berjemaah sebelum mengikuti bacaan surah Yasin dan tahlil serta menunaikan solat Isyak yang dipimpin Imam Besar Masjid Negeri Sabah, Ustaz Suhaidi Kuanting.


Doa selamat dan tazkirah khas pula disampaikan Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Ustaz Bungsu @Aziz Jaafar sebelum diteruskan dengan majlis penyampaian sumbangan dan jamuan.


Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif; Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Samad Jambri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab serta Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah yang juga Pengerusi Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah 2026.