KOTA KINABALU : Pertubuhan Menunggang Kuda Bagi Orang Kelainan Upaya Sabah (RDA) merancang menubuhkan sebuah pusat terapi berkuda sehenti di Kota Kinabalu.
Pengerusi RDA Sabah, Pathmaseelan Senathirajah berkata, pusat berkenaan membolehkan lebih ramai kanak-kanak berkeperluan khas di negeri ini menerima rawatan terapi haiwan secara konsisten.
“Visi terbesar kami ialah menubuhkan sebuah pusat terapi berkuda sehenti di Kota Kinabalu dengan sokongan isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Faridah Tussin serta Kerajaan Negeri Sabah.
“Pusat ini bakal menyediakan kemudahan lengkap termasuk kandang kuda.
“Ini membolehkan semua kanak-kanak berkeperluan khas daripada sekolah kerajaan mahupun sektor swasta datang menerima terapi.
“Dengan terapi kuda ini, saya rasa ia dapat meningkatkan keadaan kanak-kanak berkeperluan khas,” katanya ketika ditemui media semasa kunjungan hormat terhadap Toh Puan Faridah di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.

Beliau memaklumkan tujuan kunjungan berkongsi perkembangan pertubuhan serta pelaksanaan program terapi kuda yang telah diadakan selama dua hari di Sekolah Menengah Kebangsaan Inanam kepada Toh Puan Faridah yang juga penaung pertubuhan itu.
Menurutnya, seramai 70 kanak-kanak berkeperluan khas menyertai program terapi kuda ini dengan bimbingan pakar RDA Malaysia, Leftenan Bersekutu, Muthusamy A/L Kandasamy yang mempunyai lebih 26 tahun dalam bidang ini.
“Saya melihat sendiri bagaimana ada kanak-kanak pada awalnya menangis dan enggan menaiki kuda.
“Namun, sebaik sahaja duduk di atas kuda, mereka terus tersenyum dan perubahan itu dapat dilihat serta-merta,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya turut merancang untuk mengadakan program terapi berkuda di Papar dan Sandakan yang dijangka sekitar Hari Malaysia atau Hari Sabah tahun ini.
Beliau berharap lebih ramai kanak-kanak termasuk di kawasan pedalaman dapat menikmati manfaat terapi berkuda RDA pada masa hadapan.
Hadir sama, Setiausaha Kehormat RDA, Juliana Alut Lim, Wakil Pemegang Amanah Yayasan IPEC, Josie Aloysius dan Pakar RDA Malaysia, Leftenan Bersekutu Muthusamy A/L Kandasamy.