PDRM Sabah perkukuh kerjasama dengan Polis Indonesia kawal sempadan

TAWAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah bakal memperkukuhkan kerjasama strategik dengan Polis Indonesia, khususnya di wilayah Kalimantan Utara (Kaltara), bagi mempercepatkan tindakan terhadap jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan di sempadan kedua-dua negara terus terpelihara.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, satu pertemuan khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi memuktamadkan bentuk kerjasama sebelum dimeterai menerusi majlis menandatangani persefahaman bersama.

Katanya, kerjasama yang dirancang bukan sekadar mengukuhkan hubungan sedia ada, malah akan memperluaskan penyelarasan operasi dan perkongsian maklumat antara kedua-dua pasukan polis.

“Kita mengadakan hubungan yang lebih menyeluruh dan lebih luas dengan mengadakan beberapa perancangan serta perbincangan untuk menyelaraskan tindakan bersama, khususnya di kawasan sempadan Malaysia.

“Terdapat kes-kes tertentu yang memerlukan tindakan segera dan dengan adanya hubungan sedia ada ini, ia akan mempermudahkan kita menangani isu-isu berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Tawau serta Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.

Jauteh berkata, hubungan kerjasama antara PDRM Sabah dan Polis Indonesia sebenarnya sudah lama terjalin ketika Kalimantan Utara masih berada di bawah pentadbiran Kalimantan Timur.

Menurutnya, selepas pembentukan beberapa wilayah baharu di Kalimantan termasuk Kalimantan Utara, kerjasama itu perlu diperkasakan kerana wilayah berkenaan kini berkongsi sempadan secara langsung dengan Sabah.

“Atas sebab itu, kita melihat keperluan untuk memperluaskan kerjasama ini supaya segala isu keselamatan di kawasan sempadan dapat ditangani secara lebih berkesan dan pantas,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama erat antara kedua-dua pasukan keselamatan itu diyakini mampu meningkatkan keberkesanan operasi membanteras jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan, pemerdagangan manusia dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), selain memperkukuhkan keselamatan di perairan dan daratan Sabah.