TAWAU : Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan meninggalkan bayi yang baru dilahirkannya di kawasan semak di Kampung Jawa Sentosa, Jalan Guru, pada 21 Julai lepas.
Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa meninggalkan seorang bayi yang baru dilahirkan dengan niat hendak membuang bayi berkenaan di kawasan semak Kampung Jawa Sentosa, Jalan Guru, kira-kira 4.30 pagi pada 21 Julai lepas.
Atas kesalahan itu, remaja warga asing tanpa sebarang dokumen pengenalan diri itu dituduh mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 7 September depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan dan laporan kimia tertuduh sebelum hukuman diputuskan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira 7 pagi pada 21 Julai lepas berhubung penemuan seorang bayi perempuan di tepi sebuah rumah berhampiran flat guru sebuah sekolah menengah di kampung terbabit.
Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang diketuai Asisten Superintendan Razali Basa menahan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Jawa Sentosa kira-kira 11.10 pagi pada hari sama.
Siasatan mendapati tertuduh dipercayai melahirkan bayi seberat 3.1 kilogram berkenaan di kawasan semak berhampiran kawasan itu dan meninggalkannya di lokasi tersebut sebelum ditemukan orang awam di lalu dibawa ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan dan rawatan.
Polis turut menahan seorang remaja lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membantu siasatan berhubung kes itu, dan dia kemudian direman selama empat hari.