TAWAU: Cubaan sindiket menyeludup pelbagai barangan kawalan bersubsidi dan rokok tidak berkastam di Sabah dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi lima serbuan sepanjang Julai lalu, membabitkan rampasan bernilai RM662,088.26 termasuk cukai.
Dalam operasi berkenaan, dua lelaki berusia lingkungan 40-an turut ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan yang dikesan di Tawau.
Pengarah Kastam Negeri Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, dua kes di Tawau berjaya dikesan menerusi Operasi Joint Task Force (JTF) 2026 yang dilaksanakan bersama pihak Bea Cukai Indonesia bermula 13 Julai hingga 14 Ogos ini.
Menurutnya, dalam serbuan pertama pada 27 Julai, anggota Bahagian Penguatkuasaan Tawau menyerbu sebuah jeti tidak diwartakan hasil maklumat risikan.
“Pemeriksaan terhadap enam pengangkut membawa kepada rampasan 1,100 kilogram (kg) beras super import, 1,105kg minyak masak paket, 690kg gula pasir, 50 tong gas LPG 14kg serta pelbagai barangan runcit tempatan dan dari negara jiran.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai dianggarkan RM351,598.82 dan siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan yang disyaki terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Bahagian Penguatkuasaan JKDM Tawau, hari ini.

Beliau berkata, dalam kes kedua pada 29 Julai, anggota penguat kuasa mengesan aktiviti pemindahan barang antara dua bot di perairan Kampung Hidayat sebelum sebuah daripadanya melarikan diri ke arah Pulau Sebatik.
Katanya, pemeriksaan terhadap bot yang ditinggalkan menemukan 49,600 batang rokok pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan termasuk cukai RM73,859.20.
Ahmad Taufik berkata, tiga lagi kes di Kota Marudu, Keningau dan Sandakan membabitkan rampasan lebih 216,000 batang rokok tidak berkastam yang dipercayai dijadikan stok transit sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Menurutnya, semua kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan pihaknya akan terus mempergiat operasi bersama agensi penguat kuasa bagi mengekang kegiatan penyeludupan di sempadan Sabah.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan melalui talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran, sambil memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.