JAPEN Sabah Perkasa Sambutan Bulan Kebangsaan, Dekati Masyarakat

KOTA KINABALU : Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah memperkenalkan pelbagai pengisian program dengan pendekatan lebih strategik dan dekat dengan masyarakat sepanjang Bulan Kebangsaan pada tahun ini.


Timbalan Pengarah JAPEN Sabah, Azman Sipan berkata, pelbagai program telah disusun sepanjang Ogos ini bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.


“Antara program yang dianjurkan ialah Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026, Kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang (1R1JG), Program Jiwa @ Komuniti MADANI, Bakti MADANI, Info On Wheels (IOW) serta pelbagai aktiviti bersama komuniti, sekolah dan belia.


“KMJG tahun ini kita memperkenalkan pendekatan yang lebih strategik dan dekat dengan masyarakat. Kita berkolaborasi bersama agensi kerajaan, swasta, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan serta badan bukan kerajaan untuk membawa perkhidmatan masing-masing kepada rakyat khususnya mereka yang berada di kawasan pedalaman.


“Selain itu, kita turut memperkenalkan Langkah Jiwa Merdeka iaitu aktiviti berjalan kaki mengelilingi pekan sambil diiringi IOW yang memainkan lagu-lagu patriotik serta mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang ramai dan setiap lokasi juga akan diadakan Jualan Rahmah, penyampaian perkhidmatan kerajaan serta pelbagai aktiviti komuniti,” katanya semasa sesi temu bual di konti radio UMSfm di sini, pada Isnin.

Menurut beliau, pendekatan berkenaan bukan sahaja dapat menjimatkan penggunaan sumber kerajaan, malah memberi peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi secara terus dengan pelbagai agensi.


Beliau berkata, JAPEN Sabah turut memberi tumpuan kepada golongan pelajar dan belia menerusi pelbagai program seperti Kelab Malaysiaku, PENTARAMA X Kelab Malaysiaku, JIWA @ Kelab Malaysiaku, PENTARAMA Homecoming, kuiz kenegaraan serta aktiviti interaktif.


“Sepanjang Bulan Kebangsaan tahun ini, sebanyak 30 program akan dilaksanakan termasuk di 20 buah sekolah di seluruh Sabah.


“Program ini turut dijayakan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui kempen internet selamat bagi menggalakkan penggunaan media sosial secara beretika, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi advokasi pencegahan buli fizikal dan buli siber.


“Pelajar turut didedahkan dengan tatacara mengibarkan Jalur Gemilang dengan betul agar mereka terus menghayati semangat patriotisme, perpaduan dan menjadi warganegara yang bertanggungjawab”, ujarnya.


Beliau berharap agar seluruh rakyat Malaysia menjadikan bulan kebangsaan sebagai medan untuk memperkukuh perpaduan, menyemai rasa syukur atas nikmat keamanan dan menzahirkan rasa cinta kepada negara.


Hadir sama, Pengurus Pembangunan MAXIM, Nazrin Muis, Penerbit Rancangan UMSfm, Norhazimah Radik dan Khairil Fitri Abdul Karim.