KOTA KINABALU: Program SEMAI diperkenalkan sebagai pendekatan turun padang bagi memperkukuh sinergi antara agensi Kerajaan Persekutuan.
Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd. Razali Wahab berkata, SEMAI merupakan inisiatif Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah untuk mendekati warga di lapangan.
“SEMAI bukan sekadar lawatan tinjauan mesra ataupun lawatan rasmi, tetapi merupakan wadah bagi mendekati warga, mendengar sendiri isu dan cadangan, serta memahami realiti serta cabaran operasi.
“Selain itu, program tersebut turut memperkukuh kerjasama antara agensi dan seterusnya mencari penyelesaian yang praktikal serta berorientasikan rakyat.
“Pendekatan berkenaan selari dengan usaha memperkukuhkan hubungan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melalui kerjasama erat, komunikasi berterusan serta penyelarasan berkesan bagi memastikan agenda pembangunan memberikan hasil yang nyata kepada rakyat.
“SEMAI berteraskan lima teras utama iaitu Santuni, Empati, Muafakat, Amanah dan Integriti.
“Prinsipnya mudah, kita tidak seharusnya hanya menunggu laporan sampai ke meja, tetapi kita perlu turun melihat keadaan sebenar serta mendengar daripada mereka yang melaksanakan tugas dan memahami keperluan yang dihadapi di lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan pada Mesyuarat Perhubungan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan Negeri Sabah Bilangan 3 Tahun 2026 di Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini pada Khamis.
Jelas Razali, antara pelaksanaan SEMAI ialah siri lawatan turun padang pada 18 hingga 22 September 2024 yang meliputi Lahad Datu, Semporna, Tawau, Pulau Sebatik, Kalabakan dan Pelulut.
“Melalui siri kunjungan tersebut, kita dapat melihat sendiri kemudahan, aspek keselamatan dan kebajikan warga pengurusan operasi, serta isu penyampaian perkhidmatan yang memerlukan perhatian dan penyelarasan bersama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua Ketua Jabatan supaya membudayakan pendekatan turun padang dalam organisasi masing-masing bagi memastikan warga yang bertugas di seluruh Sabah mendapat perhatian sewajarnya.
“Bersama-sama menyantuni warga dan rakyat, selesaikan isu melalui muafakat, laksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab dan jadikan integriti sebagai asas bagi setiap tindakan,” tambahnya.
Beliau berharap SEMAI terus menjadi antara pendekatan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah dalam memperkukuhkan sinergi Persekutuan, menyantuni warga serta memastikan kehadiran kerajaan benar-benar dirasai di seluruh Sabah.
Terdahulu, turut diadakan Sesi Perkongsian Khas oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya.
Mesyuarat berkenaan melibatkan empat sesi pembentangan, antaranya Pembentangan Kertas Taklimat Majlis Ekonomi Jingga (MEJ) oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Arahan NADMA No. 1 dan Dasar Pengurangan Risiko Bencana (DRR) Negara 2030 yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim.
Mesyuarat tersebut dihadiri 144 wakil Jabatan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan di Sabah, terdiri daripada 102 Jabatan Persekutuan dan 42 Badan Berkanun Persekutuan.
Hadir sama, Pengarah Pembangunan Negeri Sabah, Datuk Samsul Dollah dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)