SANDAKAN: Cubaan menyeludup minyak masak bersubsidi ke negara jiran berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam serbuan di kawasan tepi Sungai Siguntur, Sibugal Besar, di sini, petang semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 4.30 petang itu, tiga individu diberkas bagi membantu siasatan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pihaknya turut merampas sebuah bot, sebuah lori Isuzu tiga tan serta sejumlah besar minyak masak bersubsidi pelbagai jenama.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan dalam operasi ini melebihi RM160,469.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga 3 Ogos lalu, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 95 kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, sepanjang tempoh itu, seramai 91 individu ditahan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan melebihi RM25 juta.
Ahmad Amri berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan PPM Wilayah 4 Sabah dalam membanteras aktiviti penyeludupan serta ketirisan barang kawalan bersubsidi.
“Kami akan terus memperhebat risikan dan operasi penguatkuasaan bagi memerangi ketirisan serta penyeludupan barang kawalan bersubsidi, khususnya yang cuba dibawa keluar dari negara.
“PPM Wilayah 4 Sabah kekal komited memastikan setiap bentuk ketirisan dan penyeludupan dibanteras demi melindungi kepentingan serta hasil negara,” katanya.