TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki cuba mencabul seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Kalabakan, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek berusia lingkungan 40-an ditahan kira-kira jam 9.45 pagi di kawasan kedai-kedai Bulatan Kalabakan.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 4.40 pagi apabila mangsa yang berada di rumah kedai berkenaan terdengar bunyi seperti kucing sebelum seorang lelaki membuka langsir dengan keadaan muka ditutup dan menghampirinya.
“Lelaki terbabit kemudian naik ke tilam tempat mangsa berada sebelum mangsa menjerit meminta pertolongan dan melawan ketika suspek cuba mendekatinya.
“Mangsa turut mendakwa ditendang lelaki terbabit sebelum suspek melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rosdi berkata, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota dari Balai Polis Kalabakan menjalankan tindakan susulan sebelum berjaya mengesan dan menahan suspek beberapa jam kemudian.
Katanya, suspek yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu kini ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
“Polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan,” katanya.