TUARAN: Kegiatan menyimpan dan mengedar serbuk ketum terbongkar selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menyerbu sebuah premis di Jalan Tuaran, di sini, awal pagi semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 6 pagi itu, PPM bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran menemukan sebanyak 11,450 kilogram (11.45 tan) serbuk daun ketum yang sudah diproses dan dibungkus dipercayai untuk tujuan pengedaran.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman, berkata nilai serbuk ketum yang dirampas dianggarkan mencecah RM1.145 juta, manakala keseluruhan rampasan termasuk kenderaan bernilai lebih RM1.4 juta.
“Operasi ini dijalankan hasil maklumat risikan sebelum pasukan membuat pemeriksaan di sebuah premis dan sebuah lori.
“Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah besar serbuk daun ketum yang sudah diproses serta dibungkus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, empat individu termasuk tiga lelaki berusia antara 23 hingga 46 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, hasil ujian saringan awal mendapati kesemua suspek yang ditahan negatif dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Siasatan lanjut dijalankan bersama JSJN Sabah bagi mengenal pasti baki anggota sindiket yang dipercayai terbabit,” katanya.
Ahmad Amri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkasakan risikan serta kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan ketum.
“Usaha ini penting bagi memastikan kegiatan penyalahgunaan ketum dalam pelbagai bentuk dapat dibanteras secara menyeluruh demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.