Anak durhaka ugut bunuh ibu, cekik nenek

TAWAU: Seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan selepas disyaki mengugut untuk membunuh ibu sendiri sebelum bertindak mencekik neneknya dalam kejadian di Kampung Sungai Tuda, Kalabakan, Jun lalu.

Suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 6 petang semalam di hadapan sebuah rumah di kampung berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung laporan yang dibuat pada 24 Jun lalu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11 malam pada 23 Jun lalu selepas adik suspek menerima panggilan daripada ibu mereka yang memaklumkan lelaki itu sedang mengamuk di rumah keluarga.

“Suspek didakwa mengugut untuk membunuh ibunya selain bertindak mencekik leher neneknya ketika kejadian berlaku.

“Setibanya di rumah, adik suspek mendapati abangnya masih dalam keadaan marah sebelum cuba menenangkan dan menahannya bagi mengelakkan kejadian lebih buruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosdi berkata, berlaku pergelutan antara kedua-dua beradik sehingga menyebabkan adik suspek mengalami kecederaan.

Katanya, suspek kemudian diarahkan keluar dari rumah kerana dipercayai memegang spanar yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan ahli keluarga.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut termasuk menjalani ujian saringan awal air kencing,” katanya.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ugutan atau tindakan agresif yang boleh mengancam keselamatan orang awam, termasuk membabitkan ahli keluarga sendiri.

“Orang ramai dinasihatkan supaya segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya berlaku sebarang ancaman keselamatan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya.