TAWAU: Dua lelaki warga asing ditahan dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Tapis di Tanjung Baru Laut dan Kampung Hidayat Batu 4, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, serbuan itu membawa kepada penemuan syabu seberat keseluruhan 31.32 gram bernilai kira-kira RM3,120.
Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 12.20 tengah hari di tepi Jalan Tanjung Baru Laut oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
“Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 50-an yang berada dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi hablur jernih disyaki syabu seberat 0.40 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosdi berkata, dalam serbuan kedua kira-kira jam 7 malam di kawasan Kampung Hidayat Batu 4, polis menahan seorang lagi lelaki warga asing berusia lingkungan 40-an.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap suspek menemukan lapan paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 30.92 gram dengan nilai anggaran RM3,090.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, seorang daripada suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama.
“Polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
“Orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi memastikan kegiatan dan sindiket dadah dapat dibanteras hingga ke akar umbi,” katanya.