Pelayaran Sabah raih lima pingat, dua emas tiga gangsa di SUKMA XXII

SHAH ALAM: Skuad Pelayaran Sabah menutup tirai saingan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan pencapaian membanggakan apabila membawa pulang lima pingat, termasuk dua emas dan tiga gangsa.

Dua pingat emas Sabah disumbangkan menerusi acara International Laser Class Association (ILCA) 4 lelaki dan wanita oleh Muhammad Aiman Aqeel Mohd Firdaus, 16, dari Kota Kinabalu dan Nur Hafizanah Zailan, 17, dari Penampang.

Kedua-dua pelayar muda itu menampilkan persembahan konsisten sepanjang saingan untuk mengungguli kategori masing-masing, di bawah bimbingan jurulatih Ahmad Yusoff Said.

Sementara itu, tiga lagi pingat gangsa hadir menerusi Mohammad Syahieradham Raiman, 19, yang menduduki tempat ketiga dalam acara ILCA 6 lelaki.

Gangsa turut disumbangkan gandingan Danyal Marczqui Rahmat Haron Muzaffar dan Muhammad Iftittah Andi Mallabbang, masing-masing berusia 16 tahun, menerusi acara International 420 lelaki.

Pasangan Bibi Qeesha Mohd Faizal, 18, dan Natasha Wong See Kei, 18, pula melengkapkan kutipan gangsa Sabah selepas meraih tempat ketiga dalam acara International 420 wanita.

Kedua-dua gandingan International 420 berkenaan dibimbing jurulatih Zainal Madi.

Menariknya, lima pingat yang diraih Sabah itu disumbangkan oleh tujuh pelayar muda yang berjaya menempatkan diri di podium dalam empat kelas berbeza.

Pencapaian berkenaan membuktikan skuad pelayaran negeri memiliki barisan atlet muda berpotensi yang mampu memberi saingan kepada pelayar terbaik negeri-negeri lain.

Sepanjang saingan di Pusat Latihan Perahu Layar Batu Laut, pelayar Sabah berdepan cabaran perubahan arah dan kekuatan angin, keadaan perairan serta persaingan sengit.

Bagaimanapun, cabaran itu berjaya ditempuhi dengan baik apabila Sabah menamatkan saingan di tempat keempat keseluruhan acara Pelayaran dengan kutipan dua emas dan tiga gangsa.