TAWAU: Sektor ekonomi biru Sabah berpotensi mendapat suntikan menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkasa industri berasaskan sumber laut dan sungai, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta menjana pendapatan baharu kepada negeri ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kekayaan sumber semula jadi Sabah memberi kelebihan besar untuk negeri itu meneroka potensi ekonomi biru secara lebih menyeluruh.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan akan meneliti cadangan dikemukakan kerajaan Sabah bersama kementerian berkaitan sebelum menentukan inisiatif yang sesuai untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.
“Daripada perancangan yang ada, kita akan berbincang dengan kementerian yang berkenaan untuk memasukkan inisiatif yang baik ke dalam Belanjawan 2027.
“Mungkin beberapa cadangan boleh dibawa ke tahun-tahun akan datang kerana ia menjadi teras dan asas kepada ekonomi biru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Libat Urus Menteri Kewangan II bersama Pemain Industri Ekonomi Biru sempena Jelajah Belanjawan 2027 di Borneo Royale Tawau, di sini, hari ini.
Amir Hamzah berkata, ekonomi biru mempunyai skop luas dan tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut pelancongan marin seperti aktiviti menyelam dan ekopelancongan.
Sebaliknya, katanya, sektor itu turut merangkumi akuakultur, perikanan, pengeluaran rumpai laut dan pemprosesan hasil laut kepada produk bernilai tambah.
“Kalau kita lihat Sabah, negeri ini kaya dengan sumber semula jadi. Bukan sahaja pelancongan berkaitan ekonomi biru, tetapi juga menjana ekonomi daripada sumber laut dan sungai.
“Rumpai laut misalnya, sudah menjadi satu segmen industri eksport baharu di Sabah apabila hasil tanaman pengusaha tempatan diproses sebelum dieksport ke luar negara termasuk China dan United Kingdom,” katanya.
Beliau berkata, tumpuan selepas ini perlu diberikan kepada pembangunan industri hiliran supaya hasil sumber laut tidak hanya dijual sebagai bahan mentah, sebaliknya diproses menjadi produk bernilai tinggi dalam negeri.
Katanya, pendekatan itu mampu meningkatkan pulangan ekonomi kepada Sabah selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
“Daripada segi perikanan laut dalam yang boleh dibangunkan dan proses yang lebih bernilai tambah di dalam negeri, pulangan kepada negeri boleh ditingkatkan dan peluang pekerjaan juga dapat dijana dengan lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, kerajaan Persekutuan turut mengambil kira keperluan infrastruktur dan pembiayaan bagi memastikan pemain industri mempunyai sokongan mencukupi untuk mengembangkan aktiviti ekonomi biru.
Katanya, pandangan yang dikemukakan pemain industri sepanjang Jelajah Belanjawan 2027 akan membantu kerajaan mengenal pasti keperluan sebenar sektor berkenaan.
“Kita menerima pandangan pemain industri untuk memberi cadangan kepada Belanjawan 2027 dan inisiatif yang boleh menjadi pemangkin perkembangan ini.
“Kerajaan Persekutuan akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan kementerian berkaitan untuk melihat bagaimana program yang diutarakan dapat direalisasikan,” katanya.