Wanita PGRS teguh bersama Redonah, tolak politik fitnah

KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menegaskan pendirian untuk terus teguh bersama Ketua Wanitanya, Datuk Redonah Bahanda, selain menolak sebarang usaha yang disifatkan sebagai cubaan mencetuskan perpecahan dalam parti.

Naib Ketua Wanita PGRS, Datuk Aziah Atoh, berkata penyebaran poster dan naratif yang cuba mempertikaikan kepimpinan Redonah perlu dilihat secara serius kerana berpotensi menjejaskan perpaduan serta kekuatan parti.

Beliau berkata, Redonah kekal mendapat mandat dan kepercayaan daripada kepimpinan serta ahli sayap Wanita PGRS di seluruh Sabah.

“Di bawah kepimpinan beliau, Wanita PGRS terus diperkasa untuk bergerak lebih aktif di peringkat akar umbi, selain memberi perhatian kepada agenda kebajikan wanita, keluarga dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aziah berkata, Wanita PGRS menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha menggunakan isu berbentuk persepsi, propaganda atau naratif negatif tidak berasas untuk melemahkan parti dari dalam.

Katanya, kekuatan dan kemenangan GRS/PGRS hanya dapat dicapai apabila semua pihak berdiri teguh sebagai satu pasukan, bukannya dengan mencetuskan perpecahan atau menjatuhkan pemimpin sendiri.

“Tiada sesiapa yang lebih besar daripada parti. Namun, parti juga tidak akan menjadi lebih kuat jika kita terus sibuk menjatuhkan sesama sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli Wanita PGRS supaya kekal tenang, bersatu dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang propaganda atau naratif yang bertujuan melemahkan semangat serta perpaduan parti.

Aziah berkata, Wanita PGRS akan terus memberi tumpuan kepada gerak kerja di lapangan, termasuk turun padang dan mendekati rakyat bagi memastikan agenda serta perjuangan GRS/PGRS terus sampai ke akar umbi.

“Sudah tiba masanya kita mengukuhkan saf, memperteguh perpaduan dan memperluas khidmat kepada rakyat, bukannya meretakkan tembok yang telah kita bina bersama,” katanya.

Beliau berkata, Wanita PGRS akan terus berdiri teguh bersama kepimpinan parti, selain memberi fokus kepada usaha memperkukuh organisasi dan memperluas khidmat kepada masyarakat.