Saya tidak terlibat sebarang rundingan politik BN-GRS, kata Salleh

KOTA KINABALU: Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak menegaskan beliau tidak terlibat dalam sebarang rundingan politik antara Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata, pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah yang berlangsung di Pejabat Merinyu Projek Sabah hari ini hanya membincangkan aspek pembangunan negeri, khususnya usaha memastikan projek dilaksanakan mengikut perancangan dan memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, isu politik termasuk hubungan BN-GRS sewajarnya dibincangkan oleh kepimpinan kedua-dua pihak melalui saluran yang ditetapkan.

“Saya sendiri tidak terlibat dalam sebarang rundingan politik antara BN dan GRS. Perkara tersebut sewajarnya diuruskan oleh kepimpinan kedua-dua pihak melalui saluran yang sesuai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Salleh berkata, peranan beliau adalah membantu kerajaan negeri dalam pemantauan dan penyelarasan projek, termasuk mengenal pasti masalah atau kelewatan pada peringkat awal bagi membolehkan tindakan susulan dipercepatkan.

Dalam pada itu, beliau berpandangan BN Sabah perlu melihat peranannya berdasarkan realiti politik Sabah ketika ini dengan memanfaatkan pengalaman serta kekuatan akar umbi yang dimiliki.

Katanya, BN boleh memainkan peranan konstruktif dalam melengkapi GRS bagi menyumbang kepada kestabilan dan keberkesanan pentadbiran negeri, bukannya semata-mata mengejar kedudukan dominan.

“Bagaimanapun, soal politik saya serahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan parti.

“Tumpuan saya adalah membantu Kerajaan Negeri memastikan pembangunan dilaksanakan dengan baik dan manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat Sabah,” katanya.