111 warga asing ditahan, majoriti warga Filipina

KOTA KINABALU: Seramai 111 warga asing termasuk kanak-kanak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan di tiga daerah, dengan majoriti tangkapan membabitkan warga Filipina.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi yang dilaksanakan pada 18 hingga 19 Ogos lalu itu membabitkan Kota Kinabalu, Sandakan dan Kudat.

Menurutnya, di Kota Kinabalu, seramai 66 warga asing ditahan daripada 153 individu yang diperiksa menerusi Ops Sapu.

“Daripada jumlah itu, 60 warga Filipina ditahan membabitkan 13 lelaki dewasa, 18 perempuan dewasa, 12 kanak-kanak lelaki dan 17 kanak-kanak perempuan.

“Turut ditahan ialah enam warga Indonesia terdiri daripada dua lelaki dewasa dan empat perempuan dewasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, di Sandakan, seramai 27 warga asing ditahan daripada 35 individu yang diperiksa.

Katanya, tangkapan membabitkan 26 warga Filipina terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, tujuh kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan, selain seorang lelaki dewasa warga Indonesia.

“Di Kudat pula, seramai 18 warga Filipina ditahan daripada 36 individu yang diperiksa.

“Tangkapan itu membabitkan lapan lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa, enam kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan,” katanya.

Sitti Saleha berkata, kesemua warga asing terbabit ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah serta melanggar syarat pas.

Beliau berkata, jumlah tangkapan itu menunjukkan JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang imigresen, khususnya membabitkan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

“JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya tidak melindungi atau menggaji PATI, selain segera melaporkan sebarang kegiatan berkaitan kepada JIM Sabah melalui saluran rasmi.