300 Peserta Sertai Majlis Cintai Rasul

TAWAU : Seramai 300 peserta menyertai Majlis Cintai Rasul sempena Program Jiwa Komuniti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) dengan lantunan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Merotai, Datuk Mohd Jailani Chachu berkata, sambutan Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan yang diadakan secara serentak harus diraikan dengan menjaga silaturrahim dan memperkasa jati diri cintai agama dan negara selain mendidik generasi muda ke landasan yang benar.

“Kita mesti menjaga hubungan sesama kita, sentiasa bersama-sama mendidik generasi muda serta membawa mereka ke landasan yang betul dan Insya-Allah, anak-anak ini akan menuju ke garisan yang betul.


“Kita lihat kepada perjuangan Rasulullah SAW, Baginda menentang puak yang menentang Islam tetapi akhirnya berjaya membebaskan Kota Mekah. 


“Begitulah juga dengan negara kita, kita melihat bagaimana negara kita ini merdeka walaupun tidak sama perjuangannya tetapi matlamatnya sama, iaitu memerdekakan daripada pelbagai aspek kerohanian dan kemanusiaan.

“Kita mahu masyarakat bukan sahaja menghayati kemerdekaan sebagai satu nikmat yang perlu disyukuri tetapi turut mengambil perjuangan daripada sirah Rasulullah SAW untuk membentuk masyarakat yang berakhlak, bersatu padu dan saling menghormati.

“Penggabungan penghayatan agama dan sambutan hari kemerdekaan memperlihatkan pendekatan menyeluruh dalam membentuk masyarakat yang mempunyai jati diri kukuh serta kecintaan terhadap agama dan negara,” ujarnya ketika berucap merasmikan program tersebut di Dewan Serbaguna Kg Sungai Imam, pada Selasa.


Dalam majlis berkenaan, persembahan qasidah oleh pelajar Madrasah Addiniah Rahmaniah Pondok Sungai Imam turut menghidupkan suasana kerohanian dan menyemarakkan kecintaan hadirin terhadap Rasulullah SAW

Pengisian majlis turut merangkumi ceramah kemerdekaan oleh Mudir Madrasah Addiniah Rahmaniah Pondok Sungai Imam, Ustaz Tashir Modding yang mengupas peranan umat islam dalam menghayati kemerdekaan melalui amalan akhlak mulia dan sunnah Rasulullah SAW.