Empat Masjid, 20 Asnaf Terima Zakat Wakalah TM

PITAS : Telekom Malaysia Berhad (TM) Sabah menyerahkan Zakat Wakalah kepada empat masjid dan 20 golongan asnaf sempena Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG).


Inisiatif di bawah Kluster Rumah Ibadah itu dilaksanakan menerusi Badan Kebajikan Islam TM Sabah dan WP Labuan (BAKIT TM Sabah & WP Labuan) sebagai usaha membantu golongan yang memerlukan.


Penyerahan Zakat Wakalah itu melibatkan Masjid Ar Rahim, Keningau, Masjid Felda Umas, Kalabakan, Masjid Pangiran Haji Abd Karim, Kg Kalumpang, Pitas serta 20 orang asnaf di Kg Kalumpang, Pitas serta Masjid Jamek Kg Penampang, Kota Belud.


Menurut kenyataan TM pada Isnin, penglibatan syarikat itu dalam program berkenaan bukan sahaja mencerminkan peranannya dalam menyediakan perkhidmatan dan penyelesaian digital kepada rakyat malah menunjukkan keprihatinannya terhadap kesejahteraan komuniti menerusi inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.


Usaha itu turut menyokong peranan masjid sebagai pusat ibadah, pembangunan komuniti dan penyatuan masyarakat, selain menjadi platform bagi TM mendekati masyarakat di peringkat akar umbi.


Penyertaan TM dalam KMJG juga selaras dengan usaha menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara, dengan menerapkan nilai kesatuan, keprihatinan serta tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat.


Terdahulu, penyerahan Zakat Wakalah dan bantuan kepada 20 orang asnaf dari Kg Kalumpang, Pitas, turut disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka, Datuk Harun Durabi, di Masjid Pangiran Haji Abd Karim Kg Kalumpang, pada Isnin.


Wakil BAKIT TM Sabah, Nurul Izza Ripin yang juga Pengurus Pemasaran dan Hubungan Awam TM Sabah turut hadir menyaksikan penyerahan tersebut.


Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor, Timbalan Pengerusi Masjid Pengiran Haji Abdul Karim, Johan Amin serta peserta konvoi KMJG.