KPDN perluas Servis Ihsan MADANI, subsidi RM70 penyelenggaraan kenderaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluas pelaksanaan Program Servis Ihsan MADANI (SIM) sempena Bulan Kebangsaan tahun ini, dengan menawarkan subsidi sebanyak RM70 bagi membantu mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan rakyat.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata program yang diperkenalkan pada 2025 menerusi kerjasama KPDN dan PETRONAS AutoExpert itu kini diperluas dengan penyertaan Perodua dan Proton.

Menurutnya, peluasan berkenaan sekali gus memperkasa rangkaian penyedia perkhidmatan serta membolehkan lebih ramai pengguna menikmati manfaat program berkenaan.

“Di bawah pelaksanaan SIM 2026 sempena Bulan Kebangsaan 2026, subsidi sebanyak RM70 ditawarkan kepada pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan di pusat servis Perodua, Proton dan PETRONAS AutoExpert yang mengambil bahagian, tertakluk kepada terma dan syarat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Program SIM 2026 melibatkan 531 pusat servis dan bengkel di seluruh negara, terdiri daripada 221 pusat servis Perodua, 186 pusat servis Proton dan 124 bengkel PETRONAS AutoExpert.

Pengguna yang ingin mendapatkan manfaat tersebut boleh membuat tempahan menerusi aplikasi penyedia perkhidmatan masing-masing, iaitu UFirst Perodua Passport bagi Perodua, Proton Link 2.0 bagi Proton dan Setel bagi PETRONAS AutoExpert.

Armizan berkata, peluasan SIM merupakan antara ikhtiar KPDN bersama rakan strategik industri dalam menterjemahkan tema Bulan Kebangsaan 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, menerusi inisiatif yang memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.

Selain membantu mengurangkan sebahagian kos penyelenggaraan kenderaan, katanya, program itu turut diharap menggalakkan pemilik kenderaan melakukan penyelenggaraan secara berkala bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.

Dalam pada itu, KPDN turut menghargai komitmen Perodua, Proton dan PETRONAS AutoExpert dalam menjayakan Program SIM 2026.

“Kerjasama Kerajaan dan industri seperti ini akan terus diperkasakan bagi memperluaskan manfaat kepada rakyat serta melengkapi ikhtiar Kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup,” katanya.