Tuaran jadi lokasi utama, 8,000 orang dijangka meriahkan HSN Sabah 2026

KOTA KINABALU: Daerah Tuaran dipilih sebagai lokasi perasmian sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Sabah 2026 yang dijadual akan berlangsung pada 10 Oktober nanti, dengan kira-kira 8,000 peserta dan pengunjung dijangka memeriahkan majlis perasmian.

Pengerusi Jawatankuasa Induk HSN Peringkat Negeri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, majlis perasmian itu dijadual berlangsung di Padang Istiadat Pekan Tuaran pada jam 7.30 pagi dan bakal dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Pelancaran kita telah ditetapkan pada 10 Oktober ini bertempat di Padang Istiadat Pekan Tuaran dan insya-Allah akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah.

“Tuaran juga akan menjadi tempat bagi sambutan HSN peringkat negeri di bahagian Pantai Barat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk HSN Peringkat Negeri Sabah, di sini, pada Khamis.

Menurutnya, sambutan HSN bagaimanapun tidak hanya tertumpu di Tuaran, sebaliknya turut diadakan secara serentak di enam daerah bagi memperluaskan penyertaan masyarakat di seluruh negeri.

Katanya, antara lokasi yang akan terlibat ialah Kunak bagi Tawau, Kompleks Sukan Sandakan, Beaufort, Kudat dan Keningau.

“Sambutan HSN Sabah tahun ini telah menyasarkan penyertaan seramai 651,610 orang, bersamaan 17 peratus daripada jumlah penduduk negeri ini yang dianggarkan 3.83 juta orang,” tambahnya.

Katanya, sasaran itu memperlihatkan komitmen kerajaan untuk menjadikan aktiviti sukan sebagai sebahagian daripada budaya hidup masyarakat Sabah.

“Saya menyeru semua warga dan masyarakat di seluruh Sabah untuk bersama-sama menjayakan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sabah,” ujar beliau.

Dalam pada itu, HSN Sabah 2026 mengangkat tema “Sukan dan Teknologi AI’, dengan pelbagai aktiviti disediakan untuk menarik penyertaan masyarakat daripada pelbagai lapisan umur.

Antara aktiviti yang dirancang termasuk Senamrobik Perdana, Larian Ria MADANI, Berjalan Ria MADANI, demonstrasi Waja Diri, senam aerobik, sukan rakyat dan tradisional, sukaneka kanak-kanak, Netball 3-on-3, pertandingan e-Sukan serta penalty shoot-out.

Dokumen penganjuran turut menyatakan beberapa sukan baharu akan diperkenalkan kepada masyarakat, termasuk pickleball, footgolf, digital dodgeball dan virtual taekwondo.

Beliau berkata, penganjuran HSN bukan sekadar untuk memeriahkan satu hari sambutan, sebaliknya bertujuan membudayakan amalan bersukan secara berterusan dalam kehidupan rakyat.

“HSN ini sebenarnya dibuat secara besar-besaran untuk menjadikan acara sukan ini sebagai budaya hidup rakyat, bukan hanya pada Hari Sukan Negara.

“Kita mahu sukan menjadi salah satu amalan budaya hidup yang sihat dan diamalkan sepanjang kehidupan, bukan hanya pada 10 Oktober,” katanya.

Berdasarkan maklumat penganjuran, penyertaan dalam aktiviti HSN Sabah 2026 adalah percuma, manakala peserta turut berpeluang menerima sijil digital atau e-Cert serta menyertai cabutan bertuah.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai HSN 2026 peringkat negeri Sabah melalui media rasmi seperti di www.harisukannegara.my, Facebook rasmi Kementerian Belia dan Sukan Sabah atau Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah.