KOTA KINABALU : Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Sabah melalui Pejabat Penerangan Daerah Kota Kinabalu turun padang menyantuni petugas agensi keselamatan yang bertungkus-lumus membantu mangsa tragedi kebakaran di Kg Numbak, Sepanggar, pada Ahad.
Timbalan Pengarah JAPEN Malaysia Negeri Sabah, Azman Sipan berkata, pengisian kemerdekaan yang dirancang pada hari ini disesuaikan kepada pendekatan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) susulan kejadian kebakaran yang memusnahkan ratusan rumah di kampung berkenaan.
Beliau berkata, JAPEN sentiasa bersedia menggerakkan program secara ad hoc bagi membantu masyarakat dalam situasi memerlukan, selain menyampaikan semangat kekitaan dan kemerdekaan melalui kehadiran bersama mangsa serta petugas.
Turut hadir meninjau kawasan kebakaran, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah.
Untuk rekod, dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Dewan Serbaguna Likas dan Dewan Damai untuk menempatkan mangsa yang terlibat.