Rokok seludup bernilai RM131,700 dirampas di Sandakan

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas 97,800 batang rokok tidak bercukai bernilai RM131,700 dalam serbuan di Jeti Kampung Kombo, Jalan Leila, di sini, awal pagi tadi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, rampasan itu dilakukan kira-kira jam 4.15 pagi hasil maklumat risikan berhubung kegiatan penyeludupan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pasukan PPM Sandakan mengesan beberapa individu sedang memunggah barangan dari sebuah bot ke atas jeti sebelum mereka bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis.

“Bot berkenaan terus memecut meninggalkan kawasan itu, manakala individu yang berada di jeti turut melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan di sekitar jeti, pasukan menemukan sejumlah rokok pelbagai jenama yang disyaki diseludup masuk dari Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Amri berkata, rampasan membabitkan 40,000 batang rokok Oakley Original, 10,000 batang Oakley Original Menthol, 16,000 batang L3 Menthol dan 31,800 batang L3 Black Menthol.

“Keseluruhan rampasan adalah sebanyak 97,800 batang rokok tidak bercukai dengan anggaran nilai RM131,700,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Amri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 57 kes di bawah Akta Kastam 1967 dengan nilai rampasan keseluruhan RM8,013,942.61.

Katanya, seramai 39 individu turut ditahan sepanjang tempoh berkenaan.

“PPM Wilayah 4 Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan.

“Risikan, rondaan dan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan terutama di kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan serta lokasi pemunggahan barangan seludup,” katanya.