KOTA KINABALU: Ijtimak Amal Islami Mualaf Madani (IJMAM) Peringkat Kebangsaan menjadi platform penting mencungkil bakat saudara baharu serta memperkukuh penghayatan dan kefahaman terhadap ajaran Islam.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, program dwitahunan itu akan berlangsung di Sabah pada 3 hingga 5 September dan menghimpunkan kira-kira 400 peserta dan anggota kontinjen dari seluruh negara.
“Selain itu, turut disertai pemerhati daripada Angkatan Tentera Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.
“Program ini memberi ruang dan peluang kepada saudara baharu untuk mendalami Islam, selain menunjukkan penghayatan mereka menerusi beberapa acara yang dipertandingkan.
“Antaranya, termasuk tilawah al-Quran, hafazan, azan dan iqamah serta nasyid, di samping dua acara sukan iaitu badminton dan sepak takraw.
“Di sinilah kita dapat mencungkil bakat-bakat baharu dan pada masa sama memberi sokongan serta dokongan kepada saudara kita yang baru memeluk Islam.
“Setakat ini sambutan daripada negeri-negeri amat menggalakkan, bukan sahaja daripada peserta yang mahu menyertai program, malah orang ramai juga berminat untuk melihat bagaimana saudara baharu menghayati Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Rabu.
Menurutnya, kunjungan hormat itu turut bertujuan memaklumkan kepada Tun Musa mengenai penganjuran IJMAM serta pengisian sepanjang program yang akan berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
“Majlis Tautan Mahabbah bersama semua peserta akan dihadiri Tun Musa pada 3 September ini di Dewan Bankuasi DUN Sabah, manakala majlis penutupan pada 5 September akan disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di tempat yang sama.
“Penganjuran IJMAM turut membuktikan bahawa saudara baharu tidak dipinggirkan, sebaliknya diberikan ruang dan peluang untuk mengetengahkan kebolehan, kemahiran serta penghayatan Islam kepada masyarakat.
“Ada kalanya kita tidak dapat nafikan, dalam kalangan saudara baharu ini ada yang menunjukkan penghayatan Islam yang sangat baik, berbanding mereka yang dilahirkan sebagai seorang Islam,” jelasnya.
Sirajuddin berkata, pemilihan Sabah sebagai tuan rumah dibuat mengikut giliran serta sokongan negeri, selain memberi peluang kepada komuniti mualaf di Sabah untuk turut merasai penganjuran program berprestij di peringkat kebangsaan.
Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Datuk Awang Juri Ag Tahir, Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Ustaz Bungsu@Aziz Jaafar, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Seri Panglima Yahya Hussin serta Pengarah JAKIM Cawangan Sabah, Dr. Baharudin Othman.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)