KOTA KINABALU: Junior Chamber International (JCI) Intan terus memainkan peranan dalam memperkasa kepimpinan wanita dan pembangunan golongan muda menerusi pelbagai program kemasyarakatan.
Pengerusi Penganjur Sambutan Jubli Emas Ke-50 JCI Intan, Chai Moi Len berkata,
JCI Intan kini turut memberi tumpuan kepada pembangunan golongan muda berusia antara 18 hingga 40 tahun menerusi aktiviti latihan, pembangunan diri dan program komuniti.
“Kami sangat berbangga kerana telah melahirkan ramai wanita hebat dan berwibawa yang kini mencapai kejayaan cemerlang dalam kerjaya masing-masing, selain turut menyerlah dalam sumbangan kepada masyarakat.”Kebanyakan aktiviti kami tertumpu kepada latihan dan pembangunan diri seperti pengendalian mesyuarat serta pengurusan masa yang dapat membantu mereka pada masa hadapan.
“Kami mahu membantu golongan muda membangunkan diri terlebih dahulu sebelum mereka mampu membantu orang lain.
“Penyertaan dalam JCI Intan turut memberi peluang kepada golongan muda membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan kepimpinan, selain memanfaatkan media sosial secara positif dan bertanggungjawab
,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.
Beliau berkata, tujuan kunjungan berkenaan bertujuan adalah bagi menjemput Tun Musa ke majlis sambutan Jubli Emas Ke-50 JCI Intan pada 18 September ini.”Pada sambutan ini, setiap presiden yang hadir akan berkongsi refleksi mengenai manfaat dan pengalaman yang diperoleh sepanjang bersama JCI Intan, termasuk bagaimana penglibatan dalam organisasi ini membantu perkembangan kerjaya mereka,” jelasnya.
Chai berkata, sepanjang penubuhannya, JCI Intan dianggarkan mempunyai sekitar 1,000 ahli, dengan sistem kepimpinan organisasi memberi peluang kepada ahli menggalas portfolio berbeza tanpa memegang jawatan sama sebanyak dua kali.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan lebih ramai ahli memperoleh pengalaman memimpin, mengurus organisasi serta membangunkan keupayaan diri menerusi tanggungjawab yang berbeza.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)