KOTA KINABALU: Lima kawasan di Sabah merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat susulan jerebu rentas sempadan yang dipercayai berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, Nor Rashidah Mohd Ghazali, berkata bacaan IPU pada jam 5 petang hari ini menunjukkan Kota Kinabalu dan Politeknik masing-masing mencatat bacaan 156, diikuti Kimanis (155), Keningau (154) dan Tawau (151).
Bagaimanapun, katanya, dua stesen pemantauan kembali merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana iaitu Sandakan dengan bacaan 93 dan Tawau 98.
“Keadaan kualiti udara di Sabah terjejas akibat jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan.
“Asap tebal daripada kebakaran itu dipercayai dibawa tiupan angin merentasi wilayah Borneo termasuk ke Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nor Rashidah berkata, berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah serta rondaan pencegahan pembakaran terbuka yang dijalankan pegawai JAS hari ini, tiada kejadian kebakaran besar lain dikesan atau dilaporkan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Sandakan dan Tawau.
Beliau berkata, laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpangkalan di Singapura berdasarkan imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 pada 2 September lalu juga tidak mengesan sebarang titik panas di Sabah.
“Sebaliknya, sebanyak 780 titik panas masih aktif dikesan di Kalimantan dan 142 di Sumatera bagi cerapan pada 2 September 2026,” katanya.
Dalam perkembangan sama, JAS Sabah terus meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka berikutan keadaan cuaca panas dan kering.
Nor Rashidah berkata, sebanyak 502 rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) sudah dijalankan setakat ini, dengan tumpuan diberikan kepada kawasan sensitif dan lokasi berhampiran stesen pengawasan kualiti udara.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta memastikan tanah atau premis milik mereka tidak dimasuki pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan kebakaran.
Katanya, orang ramai boleh mendapatkan bacaan IPU terkini setiap jam menerusi laman sesawang JAS atau aplikasi rasmi MyJAS EQMS selain merujuk Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mendapatkan nasihat kesihatan dan langkah pencegahan ketika jerebu.
“Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kompaun maksimum RM2,000 atau tidak melebihi RM500,000 juga boleh dikenakan atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka,” katanya.
Menurutnya, orang ramai turut diminta bekerjasama memadam kebakaran kecil serta melaporkan kejadian pembakaran terbuka atau kebakaran kepada JBPM menerusi talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.
Berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, 301 hingga 400 bahaya, manakala 401 hingga 500 sangat bahaya.