KOTA KINABALU : Kutipan wakaf tunai Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi tahun 2026 mencecah RM2.5 juta.
Setiausaha dan Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali berkata, jumlah itu menunjukkan peranan wakaf yang semakin penting dalam pembangunan masyarakat.
“Wakaf merupakan instrumen Islam yang masih baharu khususnya di Sabah, namun semakin mendapat perhatian apabila pemain wakaf menyumbangkan aset untuk dimanfaatkan.
“Pada tahun 2022, wakaf tunai hanya berjumlah kira-kira RM34,000 namun meningkat kepada RM2.5 juta pada 2026 dan b
egitu juga keseluruhan kewangan wakaf yang bermula daripada RM100,000 kini mencapai RM3.4 juta pada 2026. “Penyumbang potongan wakaf bulanan pula kini melebihi 1,200 orang berbanding hanya 40 orang pada peringkat awal.
“Perkembangan ini memberi ruang lebih besar kepada MUIS untuk memperluaskan manfaat wakaf dalam bidang pendidikan, kesihatan, kebajikan dan pembangunan.
“Kita menjangkakan pada tahun ini, pemotong-pemotong wakaf akan mencapai lebih kurang RM3 juta di tabung wakaf tunai yang terbahagi kepada empat iaitu tabung amal, tabung kesihatan, tabung pendidikan dan tabung pembangunan,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.
Menurut Ramlan, kunjungan tersebut diadakan untuk memaklumkan Tun Musa berkenaan Program Bulan Wakaf yang akan diadakan pada 7 September depan di Dewan Sa’adah Wisma MUIS.
Dalam pada itu, Ramlan berkata antara kelebihan wakaf ialah penyumbang menikmati pengecualian cukai sebanyak 10 peratus.
“Bermaksud kalau zakat itu 2.5 peratus, wakaf pula ditambah lagi dengan 10 peratus daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) maka itu adalah pengecualian cukai yang dapat dikurangkan daripada pendapatan tahunan syarikat atau individu yang menyumbang,” jelasnya.
Beliau juga menyeru kepada masyarakat dan juga majikan agar lebih ramai lagi yang akan menyumbang potongan gaji bulanan kepada MUIS supaya lebih banyak pembangunan yang boleh diterjemahkan dalam bentuk aset-aset wakaf di negeri Sabah.
Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan Mufti Negeri Sabah, Datuk Dr. Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)