MUIS sasar kutipan zakat RM140 juta tahun ini

KOTA KINABALU : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM140 juta tahun ini.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, 

MUIS berharap lebih banyak pihak perniagaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil menunaikan zakat perniagaan bagi membantu meningkatkan kutipan zakat di negeri ini.

“Setakat bulan Ogos tahun ini, kita berjaya mengutip zakat sebanyak RM95 juta dan daripada jumlah ini, zakat perniagaan menyumbang 27.12 peratus daripada keseluruhan kutipan, manakala zakat penggajian menjadi penyumbang terbesar dengan 47 peratus.

“Kita berharap akan lebih ramai atau lebih banyak lagi pihak-pihak perniagaan termasuk GLC untuk menunaikan zakat perniagaan mereka,” katanya .


Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat THP Sabaco Sdn Bhd (THP Sabaco) kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.


Menurut Arifin yang juga Exco Agama, hasil kutipan zakat diagihkan kepada golongan asnaf termasuk bagi pembangunan pendidikan anak-anak Sabah di luar negara.


“Zakat-zakat perniagaan dan semua zakat ini kita agih-agihkan kepada asnaf khususnya untuk pembangunan pendidikan.


“Hampir 200 anak Sabah ditaja MUIS untuk melanjutkan pengajian di Mesir, manakala lebih 20 anak Sabah menerima dermasiswa bagi melanjutkan pengajian di Jordan,” tambahnya.


Jelasnya lagi, MUIS akan melaksanakan pengurusan dana zakat secara telus dan bertanggungjawab serta memastikan ia disalurkan kepada asnaf yang layak termasuk fakir miskin dan mualaf.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)