SIE 2026 buru RM10 juta potensi jualan dalam tiga hari

KOTA KINABALU: Sabah International Expo (SIE) 2026 menyasarkan potensi jualan sehingga RM10 juta sepanjang tiga hari penganjurannya, yang turut dijangka menarik kira-kira 10,000 pengunjung.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, sasaran berkesan disokong penyertaan dari 15 negara serta kira-kira 300 reruai pameran yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bermula hari ini hingga Ahad.

Menurutnya, SIE 2026 bukan sekadar menjadi platform pameran, malah membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk memperluaskan pasaran produk dan perkhidmatan mereka, termasuk meneroka peluang kerjasama perdagangan dengan delegasi antarabangsa.

“Ini merupakan satu platform kepada usahawan-usahawan tempatan Sabah untuk memasarkan produk ataupun perkhidmatan mereka.

“Ini juga merupakan potensi kerjasama perdagangan dengan delegasi daripada negara luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Sabah International Expo 2026 (SIE 2026),di sini, hari ini.

Ewon berkata, penyertaan pempamer dan delegasi antarabangsa, khususnya dari negara-negara BIMP-EAGA, turut memberi nilai tambah kepada penganjuran SIE 2026.

Katanya, penglibatan Brunei, Indonesia dan Filipina dalam acara berkenaan memberi ruang kepada pemain industri tempatan untuk membina jaringan perniagaan serta meneroka potensi kerjasama perdagangan merentasi sempadan.

“Pada masa yang sama, kita di Sabah juga mengalu-alukan kehadiran pempamer daripada luar negara, khususnya di wilayah BIMP-EAGA melibatkan negara Brunei, Indonesia dan Filipina,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon yakin sasaran 10,000 pengunjung dan potensi jualan sehingga RM10 juta mampu memberikan impak positif kepada usahawan serta industri yang terlibat sepanjang tiga hari penganjuran SIE 2026.

Beliau turut berharap kejayaan penganjuran SIE 2026 dapat menjadi asas kepada kesinambungan acara berkenaan pada edisi akan datang.

“Saya amat yakin SIE 2026 mencapai satu hasil yang cemerlang dan mudah-mudahan dua tahun kemudian kita akan dapat teruskan lagi ISAE yang seterusnya,” tambahnya.