KOTA KINABALU : THP Sabaco Sdn Bhd (THP Sabaco) menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,308,609 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Ahli Lembaga Pengarah THP Sabaco, Kasmuri Sukardi berkata, jumlah bayaran zakat itu meningkat dan ini mencerminkan peningkatan pencapaian hasil dan keuntungan syarikat.
“Jumlah zakat perniagaan yang dibayar bagi tahun kewangan 2025 meningkat sebanyak RM284,723 atau 27.8 peratus berbanding RM1,023,886 pada tahun sebelumnya.
“Peningkatan ini secara tidak langsung akan meningkatkan wakalah yang bakal diterima, sekaligus memperluaskan manfaat kepada lebih ramai golongan asnaf dan komuniti yang memerlukan di Sabah.
“Sebanyak 12.5 peratus daripada bayaran zakat itu diagihkan semula melalui mekanisme wakalah untuk dimanfaatkan kepada lapan asnaf di lima kawasan operasi syarikat di Sabah,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Terdahulu, penyerahan zakat perniagaan THP Sabaco kepada MUIS disaksikan oleh Tun Musa dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Exco Agama.
Menurut Kasmuri, dana wakalah yang diterima bagi tahun kewangan 2024 berjumlah RM127,980 dimanfaatkan menerusi pelbagai inisiatif kebajikan, bantuan kemanusiaan serta pendidikan.
“Antara penerima manfaat termasuk golongan fakir dan miskin, mangsa banjir, keluarga yang memerlukan bantuan baik pulih rumah serta institusi kebajikan.
“Pada masa yang sama, THP Sabaco turut menyokong sektor pendidikan melalui sumbangan kepada sekolah, institusi tahfiz serta pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi,” ujarnya.
Jelas beliau, mekanisme wakalah bukan sekadar satu bentuk amanah untuk diagihkan, sebaliknya peluang bagi syarikat memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat di sekitar kawasan operasinya.
Kasmuri berkata, pihaknya akan terus melaksanakan tanggungjawab berkenaan secara amanah, telus dan berimpak demi manfaat masyarakat Sabah.
Turut hadir, Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, Timbalan Yang dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan
Ketua Pegawai Eksekutif, TH Plantations Berhad, Datuk Ts. Borhan Bachi.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)