SIPITANG: Dua buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Ranau-Ranau, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Desmond Ak Micky @ Dominic berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.37 petang.
Menurutnya, seramai enam anggota BBP Sipitang bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan utiliti (Vigo) dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 11 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi pada jam 5.53 petang, didapati kebakaran melibatkan dua rumah jenis separuh kekal dan tidak kekal, masing-masing berkeluasan kira-kira 30 x 40 kaki persegi.
“Kedua-dua rumah berkenaan telah terbakar kira-kira 95 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Desmond berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan tiga pancutan, menggunakan sumber air daripada tangki jentera bomba.
Katanya, api berjaya dikawal pada jam 6.20 petang. Kerja-kerja pemadaman dan pemeriksaan lanjut atau overhaul kemudian dijalankan bagi memastikan tiada punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.45 malam.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya