KOTA KINABALU: Dua individu, masing-masing lelaki berusia 56 tahun dan wanita berusia 54 tahun, cedera dalam kebakaran membabitkan sebuah bengkel kereta di Fung Ngap Engineering, Jalan Nountun, Inanam, awal pagi Khamis.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.35 pagi itu, mangsa wanita dilaporkan melecur pada 20 peratus bahagian badan serta mengalami patah kaki kanan.
“Manakala mangsa lelaki melecur pada kaki kanan.
“Kedua-dua mangsa menerima rawatan awal daripada pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Sabah dan Bilik Kawalan BBP Lintas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.35 pagi.
Katanya, anggota tiba di lokasi pada jam 1.39 pagi, kira-kira empat minit selepas panggilan diterima, sebelum mendapati kebakaran melibatkan sebuah stor berkeluasan 50 x 40 kaki persegi dan bengkel kereta berukuran 75 x 40 kaki persegi.
Menurutnya, kira-kira 40 peratus bahagian bengkel berkenaan terbakar.
“Kebakaran turut memusnahkan sebuah lori lima tan, sebuah Honda Accord dan sebuah Perodua Myvi, yang masing-masing dilaporkan terbakar sepenuhnya.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan dua pancutan daripada jentera LFRT BBP Lintas serta satu aliran dengan satu pancutan daripada jentera FRT BBP Kota Kinabalu,” jelasnya.
Operasi dilaporkan terkawal pada jam 2.23 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.50 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.