Syabu 5.09 gram dirampas, lelaki 36 tahun ditahan di Pintasan

KOTA BELUD: Seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan selepas polis merampas bahan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 5.09 gram dalam serbuan di Kampung Pintasan, di sini, semalam.

Suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Belud menerusi Op Tapis Dadah kira-kira jam 2 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Khairul Shah Peri berkata, pemeriksaan dalam operasi itu menemukan bahan disyaki methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM509.

“Suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Khairul Shah, semakan awal turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Beliau berkata, pihak polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah menerusi operasi serta risikan secara berterusan di daerah berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan atau pengedaran dadah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu tindakan penguatkuasaan.

“Kerjasama masyarakat amat diperlukan bagi memastikan kawasan setempat bebas daripada ancaman dadah yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan komuniti,” katanya.