Nilai wakaf Sabah meningkat, 1,200 pewakaf direkodkan

KOTA KINABALU: Nilai wakaf di Sabah meningkat melebihi RM3 juta dengan lebih 1,200 pewakaf direkodkan sehingga tahun ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, peningkatan itu mencerminkan kesedaran masyarakat Islam terhadap kepentingan wakaf selain keyakinan masyarakat terhadap pengurusan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

“Pada permulaan tahun 2022, selepas pelancaran Bulan Wakaf terdapat 86 pewakaf melibatkan wakaf tunai berjumlah RM110,000.

“Alhamdulillah selepas empat tahun usaha memberikan kesedaran dan penghayatan terhadap ibadah wakaf, jumlah pewakaf meningkat kepada lebih 1,200 orang sehingga 2026 dengan nilai melebihi RM3 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Bulan Wakaf Peringkat Negeri Sabah Tahun 1448H/2026M yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS di sini, pada Khamis.

Arifin yang juga Exco Agama Sabah menjelaskan, program Bulan Wakaf akan terus diperluaskan menerusi pelbagai aktiviti termasuk di Sandakan dan Tawau.

“Kesedaran masyarakat luar bandar akan diperkasakan melalui pegawai tadbir agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) dan MUIS selain medium khutbah serta ceramah.

“Kita juga akan memperincikan kaedah bagi memudahkan masyarakat berwakaf. Ia bukan sahaja melibatkan wakaf tunai tetapi turut merangkumi wakaf tanah dan wakaf berkaitan pembangunan,” ujarnya.

Pada majlis sama, Tun Musa turut merasmikan Souq El-Madinah, sebuah premis perniagaan yang dibangunkan di atas tanah wakaf Masjid Negeri Sabah menerusi kerjasama MUIS dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) melalui Sedcovest Holdings Sdn Bhd (SEDCOVEST).

Menurut Arifin, bangunan Souq El-Madinah tersebut menyediakan ruang kepada lebih 50 peniaga, manakala kemudahan seumpamanya turut dibangunkan di Masjid Al-Kauthar, Tawau dan Masjid Nurul Hikmah, Luyang, selain sebuah kawasan R&R di sebelah masjid di Kinabatangan sebagai usaha membantu menjana ekonomi umat Islam.

Hadir sama, Timbalan Yang di-Pertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad, Setiausaha MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali, Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Awang Juri Ag. Tahir.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)