KOTA KINABALU: Hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak terus menjadi asas penting dalam usaha mencari penyelesaian bersama berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, sebagai tuan rumah Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada kali ini, adalah menjadi penghormatan bagi Kerajaan Negeri Sabah untuk menerima dan meraikan kehadiran semua sebelum memulakan mesyuarat pada Jumaat.
“Pertemuan kita pada malam ini membawa makna istimewa kerana esok kita akan kembali duduk semeja untuk meneruskan perbincangan mengenai pelaksanaan MA63.
“Walaupun terdapat perkara yang masih memerlukan perbincangan lanjut, semangat kekeluargaan dan saling menghormati perlu terus menjadi asas dalam perbincangan berhubung MA63.
“Hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah terus menjadi asas penting dalam usaha kita mencari penyelesaian dan jalan bersama.
“Lebih bermakna, kita akan menyambut Hari Malaysia ke-63 dalam beberapa hari lagi dan semoga semangat kebersamaan yang membawa kepada pembentukan Malaysia pada 1963 terus menjadi panduan kepada kita untuk memelihara hubungan antara Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Sabah Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersempena Mesyuarat MTPMA63 yang berlangsung di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, majlis makan malam berkenaan turut menjadi kesempatan untuk memperkenalkan kekayaan budaya dan kesenian Sabah kepada tetamu.
“Sabah merupakan negeri yang kaya dengan kepelbagaian suku kaum, bahasa, adat dan tradisi.
“Kepelbagaian inilah yang telah membentuk identiti Sabah dan menjadi sebahagian daripada kekayaan Malaysia yang kita kongsi bersama,” ujarnya.
Beliau berkata, persembahan kebudayaan pada malam berkenaan mencerminkan sebahagian daripada kepelbagaian budaya yang terdapat di Sabah.
Hadir sama, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan-timbalan Ketua Menteri Sabah, Timbalan-timbalan Premier Sarawak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan Negeri serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)