KOTA KINABALU: Belia Sabah perlu memanfaatkan kelebihan kreativiti dan penguasaan teknologi digital bagi memelihara keunikan budaya tempatan di negeri ini.
Timbalan Setiausaha Tetap I, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS), Rimi Repin berkata, belia perlu memainkan peranan penting dalam mengangkat dan memelihara kepelbagaian budaya Sabah.
“Anak muda hari ini mempunyai kelebihan dari segi kreativiti dan penguasaan teknologi yang boleh dimanfaatkan untuk memperkenalkan budaya, makanan, seni dan keunikan Sabah kepada masyarakat yang lebih luas.
“Yang penting, generasi muda perlulah mengenali dan menghargai warisan sendiri supaya budaya ini tidak terputus daripada satu generasi kepada generasi seterusnya,” katanya ketika ditemubual bagi mempromosikan Sambutan Hari Malaysia di UMS FM, pada Jumaat.
Beliau turut memaklumkan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 16 September 2026, bermula jam 7.00 petang.
Mengulas mengenai penganjuran Sambutan Hari Malaysia 2026 Peringkat Negeri Sabah, beliau berkata sambutan ini menjadi antara ruang penting untuk masyarakat meraikan kepelbagaian latar belakang dan budaya yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia.
“Perbezaan budaya, bahasa dan adat dalam kalangan masyarakat Sabah bukanlah kekangan, sebaliknya manifestasi kekuatan yang memupuk semangat perpaduan yang telah lama terbina.
“Sambutan Hari Malaysia merupakan peluang untuk kita bersama-sama meraikan kepelbagaian tersebut, khususnya apabila masyarakat berkumpul dalam satu acara,” tambahnya lagi. Ini lagi
Rimi berharap platform sambutan berkenaan dapat digunakan sepenuhnya oleh belia untuk mendalami sejarah pembentukan negara, sekali gus memastikan semangat perpaduan terus subur dalam kalangan masyarakat.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)