TYT hadiri Majlis Tahlil Sempena Hari Malaysia 2026

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menghadiri Majlis Tahlil, Doa Selamat, Solat Hajat dan Solat Jumaat sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026 di Masjid Negeri Sabah (MNS), pada Jumaat.

Ketibaan Tun Musa pada kira-kira jam 11.30 pagi disambut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Timbalan Yang di-Pertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Malai Ali Malai Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar serta Imam Besar Masjid Negeri Sabah, Suhaidi Kuanting.

Majlis yang dihadiri lebih 1,000 jemaah dimulakan dengan bacaan Surah Yasin, tahlil, solat Jumaat dan solat hajat dipimpin oleh Suhaidi, manakala tazkirah ringkas dan doa selamat oleh Bungsu.

Seterusnya, khutbah Jumaat bertajuk “Hari Malaysia: Nikmat Keamanan, Amanah Bersama” disampaikan oleh Malai Ali antara lain mengajak umat Islam mensyukuri nikmat keamanan yang dikecapi serta bersama-sama memelihara keharmonian, perpaduan dan hubungan baik dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, Hari Malaysia bukan sekadar memperingati pembentukan Malaysia pada 1963, sebaliknya menjadi ruang untuk bermuhasabah dan menghargai keamanan yang diwarisi daripada generasi terdahulu.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Samad Jambri, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr. Andi Md Shamsureezal, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Awang Juri Ag. Tahir serta ketua-ketua jabatan Persekutuan dan negeri.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)