KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengarahkan pihak berkuasa pelancongan negeri melakukan pemeriksaan segera terhadap sebuah resort di Semporna susulan insiden membabitkan seorang pelancong warga China.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata pemeriksaan itu termasuk meneliti status lesen penginapan berkenaan serta aspek keselamatan dan sekuriti yang dilaksanakan pengurusan resort.
Beliau berkata, keselamatan dan sekuriti setiap pelancong yang berkunjung ke Sabah perlu kekal sebagai keutamaan, khususnya menjelang pelaksanaan Visit Sabah 2027.
“Saya memandang serius insiden yang dilaporkan membabitkan seorang pelancong China di sebuah resort di Semporna.
“Saya mengalu-alukan tindakan pantas polis menahan seorang suspek dan membiarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh tanpa sebarang spekulasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jafry berkata, pihaknya turut mengarahkan agensi pelancongan berkaitan untuk berkoordinasi dengan agensi penguat kuasa sekiranya diperlukan.
Katanya, sebarang kelemahan yang dikenal pasti hasil pemeriksaan perlu ditangani segera bagi memastikan pengusaha penginapan melaksanakan tanggungjawab menyediakan persekitaran yang selamat kepada tetamu.
“Pengusaha pelancongan, khususnya penyedia penginapan, mempunyai tanggungjawab memastikan premis mereka menyediakan persekitaran yang selamat dan terjamin kepada tetamu.
“Ketika kita menuju Visit Sabah 2027, kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan pelawat,” katanya.
Beliau berkata, Sabah perlu terus menjadi destinasi pelancongan yang memberi rasa selamat, dihormati dan dialu-alukan kepada setiap pengunjung.
Jafry pada masa sama menyeru semua pengusaha sektor pelancongan supaya memastikan aspek keselamatan serta pematuhan terhadap syarat dititikberatkan bagi mengekalkan keyakinan pelancong terhadap Sabah.