KOTA KINABALU: Budaya menjaga kebersihan di bandar raya ini perlu diubah daripada sekadar membersihkan sampah kepada usaha mencegah penghasilan dan pembuangan sampah sejak awal.
Mayor Bandar Raya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, usaha memastikan kebersihan bandar raya tidak boleh hanya bergantung kepada pihak berkuasa tempatan, sebaliknya memerlukan komitmen berterusan daripada masyarakat.
“Kita mahu budaya cegah sampah, bukan sekadar membersihkan.
“Perubahan ini bermula dengan tindakan mudah seperti tidak membuang sampah merata-rata, mengasingkan barangan yang boleh dikitar semula dan memastikan sisa diurus dengan cara yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan Ketua Pengarah DBKK, Datuk Sr Lifred Wong, ketika merasmikan Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Seluruh Negara Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu sempena World Cleanup Day 2026 di Tanjung Aru, di sini hari ini.
Menurut Sabin, Hari Cuci Malaysia yang diterajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bukan sekadar program membersihkan kawasan, sebaliknya menjadi platform meningkatkan kesedaran serta membudayakan amalan kebersihan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, kejayaan program itu tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peserta atau sisa yang berjaya dikutip semata-mata, sebaliknya melalui perubahan sikap masyarakat dalam mengurus kebersihan dan sisa dalam kehidupan seharian.
“Matlamat utama adalah memastikan kebersihan menjadi amalan berterusan dan bukan hanya diberi perhatian ketika program gotong-royong dianjurkan,” katanya.
Program pembersihan mega berkenaan dilaksanakan di sekitar Tanjung Aru meliputi Perdana Park, Pekan Tanjung Aru, perkampungan Tanjung Aru dan persisiran Pantai Tanjung Aru.
Lima sekolah turut mengambil bahagian iaitu Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru I, Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru II, Sekolah Kebangsaan Stella Maris, Sekolah Menengah Stella Maris dan Sekolah Menengah La Salle.
Antara aktiviti dijalankan termasuk pembersihan kawasan awam, parit dan bahu jalan, tapak penjaja serta pantai, selain pengutipan sampah terapung dan gotong-royong bersama penduduk setempat.
Program itu turut mengetengahkan pendekatan pengurusan sisa secara lebih sistematik menerusi aktiviti pembelian barangan kitar semula secara pandu lalu, termasuk botol plastik dan minyak masak terpakai.
Selain itu, pengumpulan sisa elektrik dan elektronik isi rumah (e-waste) serta aktiviti ‘Kayuh dan Kutip’ turut dilaksanakan.
Sabin berkata, DBKK turut mengkaji penambahbaikan terhadap mekanisme pembelian barangan kitar semula bagi meningkatkan keberkesanannya dalam mengurangkan jumlah sisa yang berakhir sebagai sampah.
“DBKK juga sedang melihat kemungkinan mengintegrasikan pendekatan baharu dalam sistem pengurusan sampah, termasuk di kawasan petempatan atas air, supaya sisa yang dihasilkan dapat diurus dengan lebih teratur dan tidak dilepaskan ke persekitaran,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata DBKK akan terus memperkukuh kerjasama dengan sektor swasta, institusi pendidikan, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti bagi meningkatkan kebersihan serta kelestarian alam sekitar.
Sabin berharap komitmen dan semangat kesukarelawanan yang ditunjukkan menerusi program berkenaan dapat diteruskan dalam kehidupan seharian.
“Marilah kita bersama-sama menjadikan kebersihan sebagai budaya, menjaga alam sekitar sebagai tanggungjawab dan menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandar raya yang bersih, hijau dan mampan untuk generasi akan datang,” katanya.