PBS kekal bersama GRS, terus perjuang hak Sabah – Joachim

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan pendiriannya untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai rakan yang setia, konstruktif dan berprinsip dalam memastikan kestabilan kerajaan negeri.

Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, kerjasama itu tidak bermakna parti berkenaan akan mengorbankan identiti atau pendiriannya, khususnya dalam memperjuangkan kepentingan dan hak Sabah.

Menurutnya, PBS akan terus menyokong kestabilan kerajaan negeri, namun pada masa sama berani menyuarakan isu berkaitan Sabah termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pembangunan luar bandar, pendidikan, ekonomi, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat.

“Kita bersama GRS, tetapi kita tetap PBS.

“Kita akan menyokong kestabilan kerajaan negeri sambil terus bersuara mengenai kepentingan Sabah, MA63, pembangunan luar bandar, pendidikan, ekonomi, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres PBS Ke-41, 2026, hari ini.

Joachim berkata, PBS juga tidak akan mengabaikan perjuangan berkaitan MA63, termasuk tuntutan Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri.

Katanya, selagi masih terdapat perkara berkaitan MA63 yang belum diselesaikan, isu berkenaan akan terus menjadi antara teras utama perjuangan PBS.

“Hak Sabah bukan hadiah. Hak Sabah adalah hak yang telah dipersetujui ketika Malaysia dibentuk.

“Kita akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan apabila kerjasama membawa manfaat kepada Sabah, tetapi PBS akan tetap berani menyatakan pendirian apabila kepentingan dan hak Sabah perlu dipertahankan,” katanya.

Dalam pada itu, Joachim berkata PBS perlu memasuki era baharu dengan memperkukuh perpaduan, kestabilan politik dan integriti kepimpinan sebagai tonggak utama parti.

Katanya, usia 41 tahun tidak seharusnya menjadi alasan untuk parti bergantung kepada sejarah perjuangannya semata-mata, sebaliknya pembaharuan perlu dilakukan bagi memenuhi tuntutan generasi baharu.

“Parti yang berusia 41 tahun tidak semestinya parti yang tua. Parti menjadi tua apabila cara berfikirnya tidak berubah.

“Parti menjadi lemah apabila cawangannya tidak bergerak dan parti menjadi tidak relevan apabila pemimpinnya berhenti mendengar rakyat,” katanya.

Beliau berkata, PBS akan memperkukuh struktur parti menerusi pendigitalan sistem keahlian, pangkalan data, komunikasi antara kepimpinan pusat, bahagian dan cawangan serta pengurusan pilihan raya.

Katanya, parti itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan pelapis kepimpinan menerusi program seperti Political Cadet atau Akademi Kepimpinan PBS.

“Golongan muda perlu diberikan ruang lebih besar untuk mencetuskan idea dan memimpin perubahan, bukan sekadar menjadi pelaksana program parti.

“Kita tidak boleh mengharapkan generasi muda menyokong PBS hanya kerana sejarah 1985. Mereka mahu tahu apakah yang PBS boleh lakukan untuk masa depan mereka,” katanya.

Joachim berkata, PBS juga akan memperkukuh peranan Think Tank parti bagi menghasilkan cadangan berkaitan isu strategik Sabah termasuk MA63, ekonomi, pendidikan, peluang pekerjaan, kos sara hidup, keselamatan makanan, pembangunan luar bandar, teknologi, tenaga dan masa depan generasi muda.

Beliau turut menegaskan PBS akan terus membuka ruang penyertaan kepada pelbagai kelompok masyarakat termasuk KDM, Melayu dan Bumiputera Islam, Cina, golongan profesional, usahawan, wanita serta anak muda.

“PBS bukan milik satu kaum. PBS milik semua yang percaya kepada perjuangan Sabah,” katanya.

Joachim turut mengingatkan kepimpinan dan akar umbi bahawa jawatan dalam parti bukan hadiah, sebaliknya amanah untuk turun padang, mendengar masalah rakyat dan membantu mencari penyelesaian.

“PBS mesti menjadi parti yang aktif, relevan dan konsisten. Kita mesti hadir bersama rakyat setiap hari, bukan hanya ketika pilihan raya.

“PBS yang kuat bermula daripada ahli yang bersatu, cawangan yang aktif dan pemimpin yang bekerja,” katanya.