Bomba pantau Kinabatangan susulan gempa bumi

KINABATANGAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan rondaan dan pemantauan di beberapa lokasi di daerah ini susulan kejadian gempa bumi lemah yang berlaku awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Suriyadi Drawis berkata, rondaan dilakukan bagi memastikan tiada kerosakan struktur atau kejadian runtuhan susulan gegaran yang dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan.

Menurutnya, seramai enam anggota BBP Kinabatangan digerakkan dalam operasi yang bermula pada jam 6.21 pagi dan tamat kira-kira jam 7 pagi.

“Pasukan menjalankan pemeriksaan di Sedco Kinabatangan, Perpustakaan Bukit Garam, Bukit Garam Point serta kawasan lain yang dikenal pasti berisiko.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada kerosakan struktur pada bangunan yang diperiksa dan tiada kejadian runtuhan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suriyadi berkata, pasukan bomba turut memberikan nasihat keselamatan kepada penduduk setempat supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan berlaku gegaran susulan.

Katanya, penduduk juga diminta segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang kerosakan atau berlaku kecemasan.

“Selepas pemeriksaan dan rondaan selesai serta keadaan di lokasi didapati selamat dan terkawal, pasukan bomba kembali ke balai dan operasi ditamatkan,” katanya.