Elak buah sawit bertaburan atas jalan, tiga kenderaan bertembung

SEMPORNA: Tujuh mangsa termasuk seorang yang tersepit dalam kenderaan cedera selepas tiga kenderaan terlibat dalam kemalangan di Simpang 4 Kalumpang, Semporna-Tawau, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.52 pagi itu, kemalangan membabitkan sebuah Isuzu D-Max, Toyota Hilux dan Toyota Avanza.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, PPgB Zainal Sinsin berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 10.30 pagi, kira-kira 50 kilometer dari balai, dan mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas muatan buah kelapa sawit yang dibawa sebuah lori terjatuh dan bertaburan di atas jalan.

Katanya, ketiga-tiga kenderaan berkenaan dipercayai cuba mengelak buah kelapa sawit yang bertaburan sebelum terbabit dalam kemalangan.

“Kesemua kenderaan yang terlibat termasuk lori yang membawa muatan buah kelapa sawit itu sedang dalam perjalanan menuju ke Tawau ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tujuh mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan empat perempuan, dengan empat mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

“Seorang lelaki mengalami kecederaan parah dan tersepit dalam kenderaan, manakala seorang lagi lelaki mengalami masalah jantung dan seorang mangsa lelaki tidak mengalami kecederaan,” jelasnya.

Pasukan bomba melalui Emergency Medical Rescue Services (EMRS) memberikan rawatan awal kepada mangsa lelaki yang tersepit sebelum mangsa dibawa ke Hospital Semporna.

“Mangsa lelaki yang mengalami masalah jantung pula diangkat ke ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Dua lagi mangsa dibawa ke Hospital Semporna menggunakan ambulans KKM, manakala dua mangsa perempuan turut dibawa ke hospital berkenaan oleh EMRS BBP Semporna,” ujar beliau.

Pasukan bomba turut menjalankan kerja pembersihan sisa minyak, buah kelapa sawit dan serpihan kaca di atas permukaan jalan menggunakan hos reel dan foam.

Operasi diisytiharkan terkawal pada jam 12.18 tengah hari sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.36 tengah hari selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi.